Reading Session: John Rawls dan Teori Keadilan Liberal (Bhg. III)

Feb 26, 2015 - Reading Sessions
Date: Sunday, 15 Feb 2015
Time: 11PM – 1PM
Venue: Graha Pemuda, Sri Hartamas

John Rawls merupakan salah seorang filasuf kontemporari dalam tradisi Barat yang telah mencetuskan revolusi dalam falsafah politik kontemporari. Menerusi penerbitan A Theory of Justice (TJ) pada 1971, hampir seluruh akademia menumpukan semula perhatian terhadap persoalan-persoalan keadilan yang selama ini terbantut dalam falsafah politik di Barat. Falsafah keadilan yang sebelum ini terhenti sekadar keadilan utilitarian telah dicabar oleh Rawls lewat adikarya beliau itu.

Pun begitu, dalam TJ, salah satu andaian besar Rawls ketika menggagaskan ide “masyarakat yang baik” (well-ordered society) adalah semua manusia yang berada di bawah institusi yang adil akan terus menerima ide keadilan beliau ini kerana semua manusia yang rasional akan memegang prinsip moral asasi yang sama. Hal ini telah ditulis dalam bahagian ketiga TJ, khususnya berkenaan persoalan kestabilan masyarakat. Ia kemudiannya telah dikritik dan menyebabkan Rawls memanjangkan lagi ide beliau tentang konsepsi politik masyarakat pula dalam buku seterusnya, Political Liberalism (PL).

Melalui karya PL, Rawls telah menggariskan bahawa “masyarakat yang baik” perlu difahami dengan lebih luas kerana dalam sebuah masyarakat demokratik, pastinya setiap individu atau kumpulan akan memiliki konsepsi kehidupan yang diyakini sebagai “baik” yang tidak terturun (irreducible) kepada apa-apa prinsip moral yang asasi. Tambahan lagi, adalah lumrah apabila sebuah negara dengan institusi yang demokratik untuk membenarkan percambahan perbezaan dalam kalangan masyarakat sebagai hasil kebebasan yang dikecapi. Justeru, untuk menyatukan semua perbezaan ini dalam satu kepercayaan moral asasi adalah bukan lagi keutamaan Rawls, kerana ia adalah mustahil dilakukan lagi. Yang tinggal kini untuk difikirkan, adalah bagaimana kerangka kemasyarakatan dapat dibentuk mengikut sebuah konsepsi politik yang luas dalam sebuah masyarakat yang rencam budaya, kepercayaan serta doktrin moral yang dipegang mereka. Maka, persoalan yang dilontarkan Rawls ini amat relevan; iaitu bagaimana untuk sebuah masyarakat yang stabil dan adil yang terdiri daripada rakyat yang bebas dan sama rata (free and equal) hidup bersama ketika mana mereka sendiri terpisah mengikut jalur-jalur doktrin pegangan mereka?

Dalam karya ini, ide asas beliau, iaitu “kesaksamaan sebagai keadilan” (justice as fairness) dipersembahkan sebagai sebuah panduan bagi membentuk sebuah konsepsi politik bagi masyarakat plural. Dalam konteks Malaysia, perkara ini sememangnya penting untuk difikirkan kerana kepelbagaian yang wujud dalam kalangan rakyat negara kita dan bagi mengkritisi bentuk institusi yang sedang kita miliki kini. Pada masa partisipasi rakyat yang semakin aktif dan rancak menuruti perkembangan teknologi, kita sewajarnya mula berfikir bagaimana untuk hidup bersama dalam kepelbagaian, bukan dengan mula menzalimi mana-mana pihak atas dasar perbezaan yang wujud.

Sesi reading session ketiga ini akan membedah ide Rawls dalam Political Liberalism sebagai kesinambungan kepada A Theory of Justice.

- See more at: http://irfront.net/post/events/reading-session-gagasan-islah-dan-tajdid-muhammadiyah/