Forum Islam, Jihad dan Demokrasi

Mar 5, 2017 - Featured, Featured on irfront.org, Forum
Tarikh: Ahad, 5 Mac 2017
Tempat: Royal Selangor Golf Club, Jalan Kelab Golf, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur
Masa: 3PM – 530 PM

Panelis:
Ustaz Dr Ahmad Fauwaz Fadzil, Multaqa’ Asatizah & Du’at (MURSHID)
Ustaz Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Dr Syafiq Hasyim, Lembaga Pengurusan Tinggi Nahdlatul Ulama (LPTNU) Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Majlis Ulama’ Indonesia (MUI)

Moderator:
Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa, Islamic Renaissance Front (IRF)

Dilihat dari sudut emperiknya, maka jelas agama dan demokrasi itu berbeza sekali. Agama berasal dari wahyu sementara demokrasi berasal dari pemerahan akal pemikiran manusia. Dengan demikian, maka agama memiliki dialektikanya sendiri. Namun begitu, tidak ada halangan bagi agama untuk berdampingan dengan demokrasi. Malahan dalam perspektif Islam, elemen-elemen demokrasi juga meliputi syura, musawah, ‘adalah, amānah, mas-uliyyah, dan hurriyah. Dan kenana itu Islam menaruh perhatian yang serius terhadap aplikasi nilai-nilai tersebut juga.

Secara normatif, Islam menekankan pentingnya ditegakkan amar ma’ruf nahi munkar bagi semua orang, baik sebagai individu, anggota masyarakat maupun sebagai pemimpin negara. Doktrin tersebut merupakan prinsip Islam yang harus ditegakkan di manapun dan pada bila-bila masa sahaja, agar wujudnya masyarakat yang aman dan sejahtera. Maka di sini jugalah jihad memainkan peranannya.
Imam Hassan al-Banna pernah menegaskan dalam Risalah Ta’lim bahawa: “Maksudku dengan jihad adalah: Ia adalah satu fardhu yang berkuatkuasa sehingga ke hari Kiamat. Peringkat pertamanya adalah mengingkari dengan hati, peringkat tertingginya adalah berjihad di jalan Allah. Antara keduanya: Jihad lidah, pena, tangan dan perkataan yang benar kepada pemerintah yang zalim. Dakwah ini tidak akan hidup kecuali dengan jihad. Setanding dengan ketinggian dan keluasan ufuk dakwah ini, begitu jugalah besarnya kelebihan jihad di jalan dakwah, mahalnya harga yang dipinta untuk mendokongnya., besarnya balasan yang akan diberikan kepada orang-orang yang beramal. “Berjihadlah kamu di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad.” Maka dengan itu kamu memahami apakah yang dimaksudkan dengan slogan abadi kamu: “Jihad Adalah Jalan Kami.”

Namun, praktik Jihad oleh sesetengah golongan Muslimin telah turut mengundang permasalahan. Seruan Jihad jugalah yang sering digunakan pelbagai kumpulan Islam sebagai justifikasi terhadap tindakan ekstrim, keganasan, malahan juga pembunuhan atas nama Tuhan, seperti ISIS dan Al-Qaeda. Hingga apa yang dapat dirasakan, seruan untuk Jihad tidak wajar mendapat tempat dalam suasana yang demokratis yang toleran lagi sederhana.

Maka sebagai satu tinjauan dan perbincangan lanjut, beberapa persoalan penting wajar untuk kita dalami darihal doktrin ‘Jihad’ ini, khususnya dalam hal-hal berkaitan politik dalam masyarakat Islam: Adakah ‘Jihad’ dapat diserasikan ke dalam sistem demokrasi seperti sekarang dalam pengertiannya yang luas? Dan bagaimanakah tuntutan ‘Jihad’ dapat menjadi penyelesaian terhadap pelbagai permasalahan yang dihadapi dalam masyarakat Islam, selanjutnya memperkasakan umat supaya menjadi contoh kepada umat manusia lain di dunia ini?

Menyedari kepentingan dalam menilai konsep ‘Jihad’ di abad yang serba mencabar ini, maka Islamic Renaissance Front (IRF) mengambil inisiatif untuk menganjurkan forum ini serta mengajak penglibatan ahli masyarakat, khususnya daripada kalangan para aktivis Islam untuk turut serta dalam perbincangan ini.