Seminar Pemikiran Reformis – Siri VII Ali Shariati – Part 2

Apr 8, 2017 - Featured, Featured on irfront.org, Seminar
Tarikh: Sabtu, 8 April 2017
Masa: 10AM – 5PM
Tempat: Royal Selangor Golf Club, Jalan Kelab Golf, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

Ali Shariati (1933-1977), adalah intelektual dan reformis yang juga sering digambarkan sebagai Martin Luther dunia Islam. Beliau merupakan sosok pemikir yang ideal yang telah melahirkan idea-idea revolusioner dalam pemikiran moden. Shariati merupakan pencetus penting yang menggerakkan revolusi rakyat menentang regim despotik Shah Reza Pahlavi. Malahan beliau dianggap sebagai arkitek Revolusi Islam Iran.

Pemikir yang ideal yang telah melahirkan idea-idea revolusioner dalam pemikiran moden. Beliau lahir dalam abad yang penting yang menyaksikan kebangkitan gerakan dan kesedaran Islam di seluruh dunia. Cetusan pemikirannya yang rasional dan daya juangnya yang tinggi telah menarik perhatian ramai pemikir dan filasuf Barat, seperti Jean Paul Sartre yang mengungkapkan:
“I have no religion, but if I were to choose one, it would be that of Shariati’s”
[Aku tidak punya agama, tetapi jika diberiku pilih, adalah pilihanku, agama Shariati]

Sebagai seorang sosiologis Islam, Shariati berusaha merungkai permasalahan umat dengan bersandarkan prinsip dan ideologi Islam yang holistik. Menurut pandangannya, agama sebagai ideologi merupakan: “suatu keyakinan yang dipilih secara sadar untuk menjawab keperluan-keperluan yang timbul dan memecahkan masalah-masalah dalam masyarakat. Ideologi diperlukan, menurut Shariati, untuk mengarahkan suatu masyarakat atau bangsa dalam mencapai cita-cita dan wahana perjuangan. Ideologi dipilih untuk mengubah dan merombak status quo secara fundamental.”

Menurut Shariati, idea yang dilontarkannya tidak difikirkan muktamad, dan harus dilanjutkan dan dikritik, seperti yang dinyatakan dalam bukunya: “Aku tidak pernah percaya bahawa apa yang kukatakan adalah pernyataan akhir tentang subjek itu; tetapi apa yang aku katakan hari ini mungkin akan aku ubah atau sempurnakan esok.”

Dr Ali Shariati berjuang dengan konsisten untuk menanamkan nilai kemanusiaan di kalangan generasi muda. Beliau cuba memperkenalkan semula al-Qur’an dan sejarah Islam kepada para remaja supaya mereka dapat menemui diri mereka yang sebenar dalam seluruh dimensi kemanusiaannya dan melawan semua bentuk kebejatan dan pengaruh sosial yang bobrok.

Terpengaruh dengan pemikiran Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Abul A‘la al-Mawdudi dan Muhammad Iqbal, Shariati cuba merangka ideologi pembaharuan yang radikal dan mencetuskan semangat perubahan dan memangkin kebangkitan massa menentang regim otokratik Shah. Lantaran itu Shariati mengketengahkan konsep yang berbeza daripada vilayat-e-faqih atau kepimpinan ulama’ dan dominasi kumpulan agamawan. Sebaliknya Shariati menempatkan “kaum intelektual yang tercerah” – rausyanfikr – sebagai otoriti di dalam kepimpinan politik.

Shariati yakin bahawa sebarang perubahan hanya akan berlaku apabila ada agen yang dapat melahirkan kesedaran revolusioner. Kesedaran revolusioner itu tidak mungkin terbit daripada massa kerana massa terperangkap dalam rutin harian. Maka harus ada rausyanfikr yang akan menjadi pemangkin bagi kesedaran revolusioner ini. Sesungguhnya kelompok kecil intelektual inilah yang mampu untuk menyedarkan massa akan segala ketidak-adilan dan kezaliman yang ada. Kelompok kecil inilah yang beliau namakan rausyanfikr.

Demikian itulah kelebihan rausyanfikr ini. Dengan kesedaran yang mereka temukan itulah mereka menggerakkan masyarakat untuk bangun menentang para penzalim yang berupa Fir’aun, Bal’am dan Qarun di zaman moden.

Seminar ini bertujuan untuk memugar pemikiran Ali Shariati demi mencetus dan menjelmakan ideanya semula serta mempertingkatkan daya intelek agar kita dapat mempersiapkan diri kita menjadi rausyanfikr di bumi kita ini.